Isipadu cecair adalah merupakan kapasiti cecair dalam sesuatu bekas. Ia boleh diukur atau disukat menggunakan unit bukan piawai ( non standard unit ) dan juga unit piawai ( standard unit ) iaitu mililiter ( ml ) dan liter ( l ) dalam sistem metrik. Oleh kerana cecair tiada bentuknya maka ia akan terbentuk mengikut saiz bekas yang diisinya. Terdapat pelbagai bahan bantu mengajar boleh digunakan untuk topik ini seperti botol air mineral, baldi, cawan, mangkuk, gelas dan sebagainya. Ia digunakan sebagai alat pengukur sukatan isipadu cecair.
Isipadu Cecair merupakan satu topik yang baru bagi murid Tahun 2. Kebanyakan murid akan membuat tanggapan bahawa isipadu sesuatu cecair di dalam sesuatu bekas adalah berdasarkan ketinggian atau saiz bekas yang digunakan. Oleh itu, guru perlu berhati-hati dan mengetahui bahawa berlaku salah konsep tentang isipadu cecair. Murid pada peringkat ini belum dapat membuat kesimpulan yang tepat tentang isipadu cecair.
Jika dibuat perbandingan persepsi antara dua bekas, murid biasanya akan membandingkan dari segi panjang atau tinggi berbanding kapasiti. Apabila ditanya yang mana mempunyai lebih isi, mereka akan memberikan jawapan yang mana bekasnya tinggi daripada bekas rendah walaupun sebenarnya bekas yang rendah mempunyai isi yang lebih. Oleh itu, cara yang terbaik ialah perlu membuat perbandingan secara langsung. Penggunaan air atau pasir adalah mudah dan sesuai untuk umur mereka. Murid akan mengalami sendiri pengalaman mengisi air ke dalam bekas dan menuang ke dalam bekas yang satu lagi untuk melihat bekas yang mana boleh mengisi lebih. Ini akan dapat memberikan konsep yang tepat dalam mempelajari topik isipadu cecair.